Saturday, November 3, 2012

To the one that I will always love,

4 November 2012.

Hari ini genap 11 tahun Mama pergi.

4 November 2001, tarikh dan peristiwa yang tak akan pergi dari ingatan. Melihat dengan mata sendiri keperitan insan yang paling aku sayang melawan sakit. Dalam bilik ini, bilik yang aku sedang menaip post ini. Ya, aku tak mampu lupakan walau kuat mana aku cuba. Dah 11 tahun, tapi ia masih segar. Pengalaman tidak manis. Kehilangan sebahagian daripada nyawa. Hilang jiwa dan raga. Dia lah penawar duka, pengubat sakit, guru hidup, kawan terbaik dan seorang ibu kepada aku. Pertama kali aku dengar berita ketiadaan, aku enggan terima, aku enggan jenguk jasad kaku itu, aku enggan peluk jasad sejuk itu, aku enggan kucup dahi dia. Kenapa dia tak ucapkan selamat tinggal? Aku lari keluar bilik mayat. Aku menangis lantas diletakkan di bilik sebelah dan diberi surah Yaasin. "Ya Allah, ini bacaan Yaasin pertamaku kepada ibuku." Aku gagahkan diri dalam bacaan dan selepas itu aku gagahkan kaki berdiri, kuatkan hati untuk mencium dahi dan peluk jasad kaku ibuku. Rupanya inilah perjalanan jauh yang ibuku maksudkan malam semalam. Ibuku ada mengatakan dia mahu pergi jauh esok dan harus tidur awal malam sebelumnya. Semalam aku tidak mengerti, tapi hari ini aku mengerti. Dia sudah tahu dia mahu pergi. Dia sudah tahu.

Aku belajar untuk redha walau ada waktu ketika aku jadi hamba tak bersyukur, aku persoalkan "mengapa ibuku diambil, kenapa tidak aku?" Aku hanya 11 tahun waktu itu, kerap kali aku fikirkan apakah dosa aku hingga ibuku diambil Allah. Memikirkan adik aku masih bayi dan harus putus susu awal kerana penyakit ibuku. Hidup berubah sekelip mata. Mulanya aku kurang selesa dengan perubahan itu. Aku belajar dari Nenek dan arwah Atuk bahawa Allah lebih menyayangi ibuku, Allah tak mahu ibuku menanggung sakit dengan lebih lama. Kerana aku sendiri tahu keperitan ibuku. Mahu telan air sahaja payah, inikan mahu melakukan perkara lain. Aku belajar untuk relakan pemergian ibuku. Aku redha. Ya Allah, aku redha.

Dalam membesar, adakala aku alpa dalam solat. Lupa tanggungjawab sebagai anak untuk mengirim doa untuk ibuku yang sudah tiada. Ustaz Fairuz pernah beritahu, "para Malaikat akan bawa dulang untuk ditunjukkan kepada orang orang yang sudah tiada, menunjukkan doa yang telah dikirim kepada mereka. Bayangkan betapa sedihnya ibu bapa kita melihat dulang yang kosong tanda kita tidak kirim sebarang doa kepada mereka?" Ini untuk aku juga dan untuk dikongsi kepada yang lain. Motivasi kita untuk doakan ibu bapa yang sudah tiada. Mereka perlukan doa kita.

Arwah Atuk juga pesan, "setiap kali ingatkan arwah, sedekahkan Al-Fatihah, doakan dia, jadi kerinduan kita kepada dia tak akan sia sia." Nasihat itu aku amalkan sehingga sekarang. Betul, tak sia sia kita rindu dia jika setiap kali kita ingatkan dia, kita sedekahkan Al-Fatihah. Maklang aku juga ajar supaya setiap amal jariah kita lakukan, niatkan atas nama arwah. Insya-Allah, kita dapat bantu mereka disana.

Aku sudah 22 tahun, banyak masa sudah berlalu, begitu banyak perubahan aku alami. Alhamdulillah, setiap air mata yang jatuh ada hikmahnya. Allah tidak akan menguji hamba-Nya diluar batas kemampuan hamba-Nya sendiri. Aku hanya perlu tabah untuk orang orang sekeliling aku. Insya-Allah.

4 November telah menjadikan aku seorang manusia tabah. Banyak mengubahku. Yang baik datangnya dari Allah S.W.T dan yang buruk datang dari diri ini sendiri.

Al-Fatihah.
Raflizah Binti Ali.

To the most amazing fighter I have ever known. You are forever my role model. You are always in my heart and I love you Mama. :')

No comments: